Ministry of Finance of Malaysia

01/11/2019 | Press release | Distributed by Public on 01/10/2019 18:08

Siaran Media: Kerajaan Yakin Akan Mencapai Sasaran Defisit 3.7% dan 3.4% Daripada KDNK Masing-Masing Untuk Tahun 2018 dan 2019

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

Kerajaan Yakin Akan Mencapai Sasaran Defisit 3.7% dan 3.4% Daripada KDNK Masing-Masing Untuk Tahun 2018 dan 2019

Kerajaan yakin akan mencapai sasaran defisit 3.7% dan 3.4% daripada KDNK masing-masing untuk tahun 2018 dan 2019. Saya telah menyemak angka awal akaun kewangan bagi 2018 yang sudah ditutup dan saya mendapati bahawa kedudukan defisit fiskal Kerajaan berada dalam lingkungan 3.7% daripada KDNK. Kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Service Tax atau SST) juga telah mencecah RM5.4 Bilion, iaitu 34% lebih tinggi daripada sasaran awal sebanyak RM4.0 Bilion (lihat carta). Oleh itu, laporan Nomura yang berpendapat bahawa defisit fiskal Kerajaan bagi tahun 2018 akan meningkat ke 3.9% daripada KDNK adalah tidak tepat dan jauh daripada kadar sebenar.

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) Kutipan sehingga 31 Disember 2018 (RM Juta)
Cukai jualan import 2,896
Cukai jualan tempatan 1,055
Cukai perkhidmatan 1,414
Jumlah SST 5,365

Pada masa yang sama, beberapa pembaharuan institusi telah dilakukan dan ini bercanggah dengan pendapat Nomura. Antara langkah-langkah tersebut adalah:

  • Pelaksanaan zero-based budgeting pada tahun ini untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan Kerajaan secara serta-merta.
  • Implementasi tender terbuka di semua kementerian sejak tahun lepas untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan perbelanjaan Kerajaan secara serta-merta.
  • Migrasi dari perakaunan asas tunai kepada asas akruan. Perakaunan asas akruan akan digunakan selewat-lewatnya 2021 untuk meningkatkan ketelusan kewangan awam dalam jangka masa sederhana. Mengutamakan semula projek infrastruktur seperti MRT2, MRT3, LRT3 dan lain-lain untuk meningkatkan kemampanan kewangan projek tersebut, sambil mengurangkan beban kewangan Kerajaan. Langkah-langkah ini telah menjimatkan Kerajaan sebanyak RM27 Bilion.
  • Pembentukan Jawatankuasa Reformasi Cukai dan Jawatankuasa Kewangan Awam untuk mempelbagaikan pendapatan Kerajaan dan meneruskan konsolidasi fiskal tanpa menggugat pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan secara jelas telah menyatakan bahawa proses pembaharuan institusi ini akan memakan masa 3 tahun untuk disiapkan. Langkah-langkah baharu akan diumumkan pada tahun 2020 kelak dan ini akan berlangsung seiring dengan langkah-langkah yang telah diperkenalkan semasa Belanjawan 2019.

Kerajaan telah berkongsi perkara yang sama tentang tempoh masa yang diperlukan untuk menyempurnakan pembaharuan tersebut, termasuklah kepada agensi-agensi penarafan kredit antarabangsa iaitu Fitch Ratings, Moody's dan S&P. Ketiga-tiga agensi tersebut memahami keperluan Kerajaan dan mereka telah mengekalkan penarafan kredit Kerajaan pada A3 atau A-, lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Pakatan Harapan adalah pentadbiran yang lebih telus menyampaikan kepada mereka tentang keadaan fiskal dan tanggungjawab kewangan Kerajaan berbanding pentadbiran terdahulu.

Tambahan lagi, Nomura bimbang kadar defisit fiskal Kerajaan akan meningkat akibat kejatuhan harga minyak dunia yang berada pada paras USD60.90 setong pada hari ini. Kerajaan ingin menekankan bahawa hanya 19.5% daripada pendapatan Kerajaan dijangka berasal daripada sumber petroleum pada tahun ini, tanpa mengambil kira one-time dividen khas RM30 Bilion daripada Petronas. Ini jauh lebih rendah daripada 41.3% pada tahun 2009. Ini bermakna walaupun sumber petroleum masih penting sebagai pendapatan Kerajaan, kepentingannya semakin berkurangan. Para penganalisis perlu mengambil kira konteks ini apabila memikirkan tentang kejatuhan harga minyak mentah dunia. Langkah-langkah baharu seperti cukai minuman bergula dan penjualan aset yang tidak penting dan tidak strategik yang masih tidak dimasukkan dalam pengiraan defisit seperti yang diumumkan semasa Belanjawan 2019 akan memberikan Kerajaan ruang yang selesa untuk mengekalkan sasaran defisitnya apabila harga minyak mentah Brent berlegar dalam julat USD50-USD70 setong.

Akhir sekali, kebimbangan Nomura tentang kestabilan kedudukan Kerajaan adalah tidak rasional dan gagal mengambil kira perkembangan baharu yang membuktikan kestabilan politik di Malaysia. Hanya gabungan Pakatan Harapan sahaja boleh mewakili rakyat Malaysia mengikut demografi atau geografi, dari semua bangsa, agama, dan latar belakang, tidak kira sama ada mereka dari Perlis, Johor, Sabah atau Sarawak.

Sebarang perubahan dari segi kepimpinan yang telah dipersetujui akan dijalankan secara tertib, demokratik dan mengikut undang-undang. Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan perbezaan pendapat adalah satu lumrah budaya masyarakat demokratik. Perbezaan pendapat tidak akan menggugat proses pembaharuan institusi yang dirancang dan sedang dijalankan.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
10 Januari 2019