Results

Central Bank of Malaysia

11/03/2020 | Press release | Distributed by Public on 11/03/2020 01:56

Pernyataan Dasar Monetari

Pernyataan Dasar Monetari

No Ruj : 11/20/0203 Nov 2020Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam1500 pada hari Selasa 03 November 2020

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 1.75 peratus.

Ekonomi global terus pulih, didorong oleh pemulihan dalam aktiviti perkilangan dan eksport. Berdasarkan penunjuk terkini, kegiatan ekonomi meningkat dalam kebanyakan ekonomi maju dan serantau, dengan momentum pemulihan yang lebih ketara di RR China. Walau bagaimanapun, penularan semula kes COVID-19 baru-baru ini telah menyebabkan beberapa ekonomi utama melaksanakan semula langkah-langkah pembendungan meskipun pada amnya lebih longgar berbanding dengan langkah-langkah yang dilaksanakan sebelum ini. Hal ini menggambarkan bahawa pemulihan ekonomi global akan kekal tidak sekata dalam tempoh terdekat. Keadaan kewangan telah bertambah baik walaupun aktiviti penghindaran risiko kekal ketara. Prospek keseluruhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi menjadi lebih rendah, terutamanya disebabkan oleh risiko penularan semula jangkitan COVID-19 yang boleh menyebabkan keadaan perniagaan, pekerjaan dan pendapatan menjadi lebih lemah.

Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan kegiatan ekonomi meningkat dengan ketara pada suku ketiga. Pengenalan langkah-langkah bersasar untuk membendung COVID-19 di beberapa negeri boleh menjejaskan momentum pemulihan pada suku keempat. Walau bagaimanapun, pertumbuhan bagi tahun 2020 dijangka berada dalam julat unjuran sebelum ini. Bagi tahun 2021, kegiatan ekonomi diunjurkan semakin bertambah baik. Peningkatan ini akan didorong oleh permintaan global yang semakin pulih, perbelanjaan sektor swasta dan awam yang kembali pulih dalam keadaan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar, dan pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti sedia ada dan baharu. Walaupun begitu, kadar pemulihan ini dijangka tidak sekata merentas sektor, dengan kegiatan ekonomi dalam beberapa industri terus berada di bawah paras sebelum pandemik, dan peningkatan yang lebih perlahan dalam pasaran pekerja. Risiko pertumbuhan yang rendah masih wujud, berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan berhubung dengan pandemik pada peringkat global dan dalam negeri.

Sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada tahun 2020 memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah. Bagi tahun 2021, purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi. Walau bagaimanapun, prospek akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia. Inflasi asas dijangka kekal rendah pada tahun 2021 dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif. Pengurangan OPR sebanyak 125 mata asas secara kumulatif pada tahun ini akan terus merangsang ekonomi. MPC akan terus menilai keadaan yang sentiasa berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri secara keseluruhan. Bank Negara Malaysia terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Mesyuarat ini juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2021. Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali setahun. Mesyuarat akan diadakan selama dua hari dan Pernyataan Dasar Monetari diumumkan pada jam 3.00 petang pada hari kedua mesyuarat MPC.

Jadual Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bagi Tahun 2021

Bil Mesyuarat MPC

Tarikh

Pertama

19 dan 20 Januari 2021 (Selasa dan Rabu)

Kedua

3 dan 4 Mac 2021 (Rabu dan Khamis)

Ketiga

5 dan 6 Mei 2021 (Rabu dan Khamis)

Keempat

7 dan 8 Julai 2021 (Rabu dan Khamis)

Kelima

8 dan 9 September 2021 (Rabu dan Khamis)

Keenam

2 dan 3 November 2021 (Selasa dan Rabu)


Bank Negara Malaysia
03 Nov 2020

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.