Central Bank of Malaysia

09/30/2020 | Press release | Distributed by Public on 09/30/2020 01:54

Peralihan kepada bantuan bayaran balik pinjaman bersasar

Peralihan kepada bantuan bayaran balik pinjaman bersasar

No Ruj : 09/20/0830 Sep 2020Embargo : Untuk Siaran Segera

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memberikan jaminan bahawa sektor perbankan terus komited untuk membantu isi rumah dan perniagaan yang memerlukan bantuan selepas moratorium secara automatik berakhir pada 30 September. Bagi tujuan ini, institusi perbankan telah memperkenalkan pelbagai pakej untuk membantu peminjam yang terjejas. Pakej ini termasuk pelanjutan moratorium secara bersasar serta fleksibiliti bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam berdasarkan keadaan kewangan mereka yang khusus. Pendekatan bersasar ini akan memastikan lebih banyak sumber tersedia untuk membantu mereka yang mudah terjejas. Pendekatan ini juga membolehkan sektor perbankan menyokong ekonomi secara lebih meluas melalui pemberian pinjaman yang berterusan.

Industri perbankan telah menghubungi peminjam secara aktif melalui pelbagai cara. BNM bersama-sama dengan industri perbankan, telah mengadakan lebih 150 sesi perbincangan dan interaksi. Sesi ini termasuk kempen bantuan pembayaran balik pinjaman di seluruh negara serta perbincangan dan interaksi secara langsung dengan pelbagai kumpulan berkepentingan termasuk persatuan-persatuan PKS. Bagi melancarkan proses permohonan, institusi perbankan telah memudahkan langkah permohonan, membolehkan permohonan dibuat secara dalam talian dan melanjutkan waktu urusan cawangan bank (termasuk hujung minggu).

Selain usaha-usaha ini, bank-bank telah menghubungi lebih dua juta peminjam melalui panggilan telefon, e-mel dan SMS untuk menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman. Sehingga setakat ini, kira-kira 500,000 permohonan untuk bantuan bayaran balik pinjaman telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 98%. Jumlah peminjam yang memilih untuk menyambung semula bayaran ansuran bulanan mereka juga terus meningkat.

Bagi permohonan yang masih lagi belum mendapat jawapan, bank-bank telah memberikan komitmen mereka untuk memaklumkan keputusan permohonan tersebut secepat mungkin. BNM akan memantau rapi amalan bank-bank dalam hal ini. Peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank mereka boleh menghubungi BNMTELELINK melalui [email protected]

Peminjam yang mampu menyambung semula bayaran balik pinjaman bulanan disarankan berbuat demikian kerana tindakan ini akan mengurangkan kos hutang dan pinjaman mereka secara keseluruhan. Meskipun keadaan ekonomi secara amnya bertambah baik, sesetengah peminjam mungkin menghadapi cabaran membuat bayaran balik pinjaman jika keadaan mereka berubah pada bulan-bulan yang akan datang. Sekiranya perkara ini berlaku, peminjam masih boleh berurusan dengan bank mereka untuk berbincang mengenai pengaturan bayaran balik pinjaman alternatif. Semasa tempoh ini, institusi perbankan akan terus menawarkan pelbagai bentuk bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam. Permohonan bantuan bayaran balik pinjaman yang dibuat pada bila-bila masa sebelum 30 Jun 2021 juga tidak akan dipaparkan dalam rekod CCRIS peminjam. Peminjam juga boleh mendapatkan panduan dan pilihan bantuan alternatif daripada AKPK.

Bank Negara Malaysia
30 Sep 2020

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.