Ministry of Finance of Malaysia

11/14/2020 | Press release | Distributed by Public on 11/13/2020 20:48

Siaran Media - Ulasan Tentang Pertumbuhan KDNK Suku Ketiga 2020

MENTERI KEWANGAN
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

ULASAN TENTANG PERTUMBUHAN KDNK SUKU KETIGA 2020

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah menguncup 2.7% tahun-ke-tahun bagi suku ketiga (S3) 2020 (S3 2020), iaitu pada kadar yang jauh lebih perlahan berbanding penurunan dua angka sebanyak 17.1% pada suku kedua (S2). Ini menunjukkan pemulihan ekonomi yang kukuh yang juga dapat dilihat melalui prestasi ekonomi bulanan pada S3 (Julai: -2.7%; Ogos: - 3.6%; September: -1.6%).

Penambahbaikan ini adalah selaras dengan pembukaan semula ekonomi selepas pelaksanaan pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada S1 2020 dan S2 2020, serta permintaan luar yang bertambah baik. Pertumbuhan telah dicatatkan dalam pelbagai sektor ekonomi, terutamanya sektor pembuatan. Dari sudut perbelanjaan, walaupun permintaan domestik menguncup pada kadar yang lebih perlahan, eksport bersih telah melonjak semula. Dari sudut suku-ke-suku yang disesuaikan mengikut musim (seasonally-adjusted basis), ekonomi Malaysia telah pulih semula sebanyak 18.2% (S2 2020: -16.5%).

Sektor pembuatan berkembang sebanyak 3.3% pada S3 2020, dipacu oleh pemulihan industri berorientasikan eksport yang berkembang pada kadar 5.0% (S2 2020: -13.5%). Jumlah eksport pada bulan September 2020 mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.6% dari tahun-ke-tahun. Sebaliknya, sektor perkhidmatan merekodkan penguncupan yang lebih kecil sebanyak 4.0% dari tahunke- tahun pada S3 2020, yang menunjukkan pemulihan ketara daripada -16.2% pada S2 2020.

Dengan pembukaan semula ekonomi, kadar pengangguran menurun kepada 4.7% pada S3 2020 (S2 2020: 5.1%). Kadar pengangguran September 2020 berada pada paras 4.6%, dan menunjukkan penurunan daripada paras 5.3% pada bulan Mei. Ini menunjukkan keberkesanan langkah-langkah PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN untuk menyelamatkan dan menjana pekerjaan di tempoh pandemik, serta meletakkan negara di landasan pemulihan ekonomi.

Sebaliknya, banyak negara telah merekodkan penguncupan ekonomi yang lebih ketara pada S3 2020. Tahun-ke-tahun, ekonomi Singapura menguncup 7%; Indonesia menguncup 3.5% manakala Filipina pula menunjukkan penguncupan 11.5%. Pada masa sama, negara-negara maju seperti Zon Euro (-4.3%) dan Amerika Syarikat (- 2.9%) juga mengalami penguncupan, seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Sepanjang suku tahunan tersebut, berdasarkan data BNM, pembiayaan bersih kepada sektor swasta terus berkembang sebanyak 4.6% pada tahun-ke-tahun, dengan disokong oleh pinjaman isi rumah beserta peningkatan permintaan pinjaman secara amnya. Kadar pemberian pinjaman juga memulih, dengan pemberian kepada isi rumah melangkaui paras sebelum ini.

TINJAUAN EKONOMI

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah berkuatkasa di keseluruhan Lembah Klang sejak 14 Oktober 2020, dan dilanjutkan hingga 6 Disember 2020 ke serata Semenanjung Malaysia kecuali di beberapa negeri. Ini kemungkinan besar akan memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK pada S4 2020. Walaupun ini dijangka memberi kesan kepada permintaan pengguna - khususnya berkaitan peruncitan, makanan dan minuman, penginapan dan hospitaliti, serta pengangkutan - inisiatif di bawah PENJANA dan KITA PRIHATIN seperti Subsidi Upah, Insentif Pengambilan dan Peningkatan Kemahiran Pekerja dan banyak lagi akan berterusan sehingga hujung 2020, dan dijangka mengurangkan impak daripada pelbagai jenis PKP.

Kerajaan juga akan terus peka tentang perlunya memastikan golongan rentan dan golongan rentan baharu terus dijaga, dan memastikan perniagaan - khususnya PKS dan PKS mikro - betul-betul disokong.

Kerajaan tetap fokus kepada Strategi 6R (Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalize dan Reform) untuk memulihkan ekonomi, terutama tatkala kita semakin hampir di ambang 2021. Unjuran peningkatan permintaan global, persekitaran kadar faedah yang lebih rendah, peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta, serta pelbagai dasar kerajaan akan menyokong pencapaian matlamat ini. Kunci pemulihan ini adalah Belanjawan 2021 yang baru dibentangkan, yang mengandungi langkah-langkah komprehensif untuk memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Pelbagai langkah jangka pendek dan sederhana digubal untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan dan memastikan sektor-sektor tertentu mengekalkan kapasiti sedia ada. Seterusnya, langkah jangka panjang akan meletakkan batu asas untuk daya tahan dan pertumbuhan masa depan, seperti meningkatkan kesalinghubungan digital dan fizikal, serta melabur dalam pendidikan dan juga prinsip kelestarian. Selain pendekatan yang lebih bersasar, Kerajaan juga bertujuan untuk mengimbangi matlamat perbelanjaan dan disiplin fiskal; mengurangkan jurang pembangunan desa-bandar, dan menjunjung tinggi nilai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 melalui Belanjawan 2021.

Walaupun KDNK negara dijangka mencatat penguncupan sebanyak 4.5% untuk tahun 2020, ia dijangka pulih pada kadar 6.5% - 7.5% pada tahun 2021, lebih kurang selaras dengan ramalan oleh Bank Dunia (6.3%), S&P (7.5%) dan Moody's (>7.0%). Selagi vaksin COVID-19, walaupun hampir ditemui, tetapi masih belum tersedia secara komersial, Kerajaan optimis namun tetap berwaspada dan komited untuk memastikan ruang fiskal yang mencukupi untuk menangani cabaran di masa hadapan.

Asas sistem ekonomi dan kewangan Malaysia tetap kukuh. Telah berulang kali, negara kita membuktikan daya tahannya dalam menghadapi ketidakstabilan dan kesukaran dari faktor luaran. Meskipun menghadapi berbagai cabaran, Kerajaan akan terus menyokong rakyat, perniagaan dan pasaran negara untuk memastikan ekonomi kita akan melonjak semula apabila ekonomi global memulih pada tahun 2021.

Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
13 November 2020