AirAsia Group Berhad

10/27/2020 | Press release | Distributed by Public on 10/26/2020 19:44

airasia.com lancar inisiatif derma digital awam ‘IKHLAS untuk Sabah’

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2020 - IKHLAS, cabang perniagaan mesra muslim di bawah naungan airasia.com melancarkan suatu inisiatif derma digital awam 'IKHLAS untuk Sabah' hari ini sebagai sebahagian daripada perkhidmatan Sedekah untuk membantu komuniti yang terjejas oleh pandemik di Sabah.

Bermula hari ini hingga 30 November 2020, orang awam yang berminat untuk menderma boleh melayari laman ikhlas.com dan juga melalui airasia.com super app.

Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS berkata, 'Tidak dinafikan, Sabah merupakan salah satu negeri yang amat terjejas setelah dilanda pandemik ini. Walaupun pelbagai organisasi telah menghulurkan bantuan di Sabah, masih banyak lagi komuniti yang belum menerima bantuan dan kami ingin memainkan peranan untuk membantu seramai mungkin terutamanya komuniti yang kurang bernasib baik.

'Kami berhasrat untuk membantu sekurang-kurangnya 2,500 buah keluarga daripada pelbagai komuniti melalui kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan tempatan Sabah bagi mengenal pasti kumpulan yang memerlukan bantuan seperti keluarga yang kurang bernasib baik, ibu tunggal, orang kurang upaya, komuniti tempatan dan juga pasukan barisan hadapan tanpa mengira agama atau kepercayaan mereka. Sumbangan yang dikumpul akan digunakan untuk membeli bekalan seperti barang keperluan asas dari peniaga tempatan dan PKS di Sabah supaya kami turut membantu perniagaan mereka dalam masa yang sukar ini.'

Sejak April 2020, perkhidmatan Sedekah IKHLAS telah menerima dana sebanyak RM1.3juta melalui inisiatif 'Derma dengan IKHLAS' yang merupakan inisiatif derma digital awam pertama mereka yang telah membantu lebih 15,000 keluarga di seluruh negara.

IKHLAS merupakan jenama perniagaan di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti Muslim di seluruh dunia dengan menyediakan akses untuk pelbagai amalan berasaskan keimanan. Ini termasuk kewajipan agama seperti Umrah, Korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum Syariah.

Untuk maklumat lanjut mengenai tabung bantuan dan inisiatif akan datang, layari ikhlas.com, atau melalui laman sosial di Instagram ikhlasdotcom dan Facebook ikhlasdotcom