Ministry of Finance of Malaysia

05/14/2022 | Press release | Distributed by Public on 05/13/2022 11:39

KDNK Suku Pertama 2022 Berkembang Sebanyak 5.0 Peratus: Ekonomi Malaysia Meneruskan Momentum Pemulihan

KDNK Suku Pertama 2022 Berkembang Sebanyak 5.0 Peratus: Ekonomi Malaysia Meneruskan Momentum Pemulihan

Siaran Media 14 Mei 2022

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5% pada suku pertama 2022 (S1 2022), disokong oleh peningkatan permintaan dalam dan luar negara serta pemulihan pasaran buruh. Perkembangan ini disumbang oleh sokongan dasar Kerajaan yang konsisten, terutamanya melalui inisiatif di bawah Bajet 2022 yang mengembang dengan langkah yang giat dilaksanakan sejak awal tahun. Selain itu, kesan limpahan daripada pelaksanaan langkah Bajet 2021 serta pakej-pakej rangsangan dan bantuan sebelum ini turut menyumbang kepada perkembangan tersebut.

Sepanjang S1 2022, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bulanan berkembang secara konsisten pada kadar 4.3% pada Januari, 5.2% pada Februari dan 5.4% pada Mac. Antara indikator ekonomi yang telah menunjukkan trend pertumbuhan adalah:

  1. Pemulihan pasaran buruh yang berterusan, dengan kadar pengangguran pada 4.1%, berkurang sebanyak 0.2 mata peratusan berbanding suku sebelumnya berikutan pelaksanaan program subsidi upah bernilai lebih daripada RM20 bilion dan kejayaan inisiatif pewujudan peluang pekerjaan seperti JanaKerja dan JaminKerja. Kadar pengangguran dijangka terus berkurang dalam bulan-bulan yang mendatang selaras dengan bantuan Kerajaan yang berterusan dan prospek perniagaan yang lebih baik.
  2. Keyakinan perniagaan yang semakin meningkat selari dengan penggunaan swasta yang kukuh. Indeks Sentimen Pengguna (CSI) oleh MIER meningkat kepada 108.9 mata pada S1 2022 (S4 2021: 97.2 mata). Sementara itu, Statistik Kecenderungan Perniagaan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia merekod indikator keyakinan sebanyak 7.6% (S4 2021: -0.3%). Secara keseluruhan, keyakinan dan sentimen tersebut digambarkan melalui peningkatan nilai jualan sektor pembuatan yang kukuh sebanyak 13.9% kepada RM144.6 bilion serta jualan perdagangan borong dan runcit yang berkembang sebanyak 9.8% kepada RM123.8 bilion pada Mac 2022.
  3. Perdagangan luar dan pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh. Jumlah dagangan berkembang sebanyak 23.6% kepada RM624.9 bilion manakala FDI bersih meningkat kepada RM24.4 bilion (S4 2021: RM18.4 bilion). Sektor pembuatan, aktiviti kewangan dan insurans/takaful serta sektor perdagangan borong dan runcit telah menarik sebahagian besar daripada aliran masuk FDI terutamanya dari Switzerland, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Jepun.

Bagi pasaran modal dan kewangan Malaysia,

  1. Ketersediaan pembiayaan terus bertambah baik seperti digambarkan oleh peningkatan pinjaman kepada isi rumah. Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 4.8% (S4 2021: 4.2%), sejajar dengan peningkatan pengeluaran pinjaman sebanyak 12.7% (S4 2021: 9.5%), mengatasi pertumbuhan pembayaran balik pinjaman sebanyak 3.3% (S4 2021: - 4.6%).
  2. FBM KLCI meningkat sebanyak 1.3% dalam tempoh S1 2022 dengan pembelian bersih daripada pelabur runcit tempatan berjumlahmenyumbang RM501 juta dan aliran masuk bersih dana asing yang konsisten berjumlah RM6.5 bilion. Bursa Malaysia mendahului bursabursa lain di ASEAN dengan hasil penyenaraian baharu daripada lima tawaran awam awal (IPO) berjumlah USD362 juta (RM1.6 bilion).

MELANGKAH KE HADAPAN

Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pemulihan pada 2022. Peralihan kepada fasa endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa akan meningkatkan ketibaan pelancong dan menambah baik aktiviti perdagangan dan perniagaan, seterusnya memacu pemulihan yang kukuh dalam sektor perkhidmatan. Selain itu, pengeluaran khas sebanyak RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dijangka merancakkan penggunaan swasta dan terus membantu pemulihan ekonomi.

Bajet 2022 yang mengembang dan penyambungan semula projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi akan membantu mengekalkan pertumbuhan disokong oleh pelaksanaan program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Seiring dengan permintaan luar yang kukuh daripada rakan dagangan utama, ekonomi negara dijangka berada di landasan untuk mencapai unjuran pertumbuhan antara 5.3% hingga 6.3% pada 2022.

Namun begitu, Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini yang berpotensi menjadi risiko kepada pertumbuhan. Sebagai contoh, ketegangan geopolitik telah mengakibatkan tekanan ekonomi dalam pelbagai aspek terutamanya peningkatan dalam inflasi global berikutan harga komoditi yang terus meningkat. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), inflasi akan meningkat sebanyak 5.7% bagi ekonomi maju dan 8.7% dalam negara yang berkembang pesat dan negara membangun. Inflasi Malaysia dijangka berada antara 2.2% dan 3.2% (2021: 2.5%) pada tahun ini, sejajar dengan unjuran IMF sebanyak 3.0% iaitu yang paling rendah dalam kalangan negara ASEAN.

Sekiranya perkembangan global terus mempengaruhi pelaburan dan perdagangan dunia, rantaian bekalan akan terus terkesan. Keadaan ini berpotensi untuk menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka, dengan jumlah perdagangan adalah kira-kira 120% daripada KDNK. Tambahan pula, peningkatan mendadak dalam tekanan inflasi terutamanya di Amerika Syarikat telah mendorong beberapa bank pusat untuk meningkatkan kadar dasar dengan lebih pantas yang boleh menjurus kepada persekitaran kewangan global yang lebih ketat. Peningkatan harga komoditi dan makanan dan kekurangan tenaga buruh mungkin mengehadkan potensi pertumbuhan Malaysia.

Melangkah ke hadapan, Kerajaan dan agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan pelbagai risiko ekonomi, dan memastikan keberkesanan keputusan dasar dalam mengurus kejutan luaran yang boleh memberi kesan ke atas kesejahteraan rakyat dan perniagaan. Keutamaan Kerajaan dalam jangka masa sederhana adalah untuk melaksanakan pembaharuan struktural yang akan meningkatkan potensi, daya tahan dan prospek ekonomi negara serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik. Secara keseluruhan, langkah dan komitmen Kerajaan ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk semua.

YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia
Putrajaya
13 Mei 2022

LAMPIRAN