Central Bank of Malaysia

10/06/2020 | Press release | Distributed by Public on 10/06/2020 06:07

Pelancaran Bulan Literasi Kewangan buat Julung Kali oleh Jaringan Pendidikan Kewangan

Pelancaran Bulan Literasi Kewangan buat Julung Kali oleh Jaringan Pendidikan Kewangan

No Ruj : 06 Oct 2020Embargo : Untuk Siaran Segera

Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) hari ini melancarkan Bulan Literasi Kewangan (Financial Literacy Month, FLM 2020) dengan tema 'Bijak Wang Pilihan Saya'. Pelbagai inisiatif dan program oleh anggota-anggota FEN akan diadakan sepanjang FLM 2020 sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selaras dengan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 - 2023, objektif FLM 2020 adalah untuk memberi maklumat, mendidik dan menyokong rakyat Malaysia dalam memantapkan pengurusan kewangan. Ini termasuk melengkapkan individu dengan instrumen dan pengetahuan untuk mencapai matlamat kewangan, menguruskan hutang dan melindungi diri mereka daripada penipuan kewangan.

Berdasarkan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Sudut Permintaan pada tahun 2018, 1 daripada 3 rakyat Malaysia mempunyai tahap keyakinan yang rendah dalam pengetahuan dan perancangan kewangan mereka, 52% rakyat Malaysia tidak mempunyai dana kecemasan yang mencukupi untuk menangani kejadian yang tidak dijangka dan hampir separuh rakyat Malaysia tidak yakin bahawa mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan.

Memandangkan rakyat Malaysia juga menghadapi cabaran kewangan akibat pandemik COVID-19, FLM 2020 menyediakan lebih 40 program bertujuan untuk memperkasakan individu dalam membuat keputusan kewangan yang bijak dengan instrumen dan pengetahuan yang tepat. Program-program ini merangkumi pengenalan kepada alat-alat kewangan kendiri, ceramah pendidikan kewangan, webinar, kuiz, pertandingan, perbincangan dan pameran secara maya. Program-program tersebut terbuka kepada orang ramai sepanjang Oktober 2020.

Untuk maklumat lanjut mengenai FLM 2020 dan FEN, sila layari

https://www.fenetwork.my/

DIKELUARKAN OLEH BANK NEGARA MALAYSIA DAN SURUHANJAYA SEKURITI, PENGERUSI BERSAMA JARINGAN PENDIDIKAN KEWANGAN

Perihal Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN)

Ditubuhkan pada 2016, FEN bertindak sebagai satu platform antara agensi yang terdiri daripada institusi dan agensi bagi menambahkan impak inisiatif pendidikan kewangan dan mengenal pasti peluang-peluang baharu untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini dapat dilaksanakan melalui lebih banyak usaha penjajaran, kerjasama erat dan lebih tumpuan terhadap penilaian impak. Anggotanya terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad..

© Bank Negara Malaysia, 2020. All rights reserved.