AirAsia Group Berhad

11/03/2020 | Press release | Distributed by Public on 11/02/2020 20:05

AirAsia dinobatkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia di World Travel Awards 2020

MALAYSIA, 3 November 2020 - AirAsia telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun kelapan berturut-turut di World Travel Awards (WTA) - salah satu program anugerah paling berprestij, komprehensif dan diingini yang mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.

AirAsia mengungguli kategori utama bagi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah setelah menerima undian tertinggi daripada pemain industri profesional di rantau ini, mengatasi syarikat penerbangan lain seperti Scoot, Nok Air, VietJet Air, Jetstar dan Firefly untuk anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2020 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, 'Saya berasa rendah hati untuk menerima Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2020 untuk tahun kelapan berturut-turut. Penghargaan ini mempunyai nilai sentimental kerana industri kami kini berada dalam situasi yang amat mencabar. Terima kasih kami ucapkan kepada setiap seorang daripada 600 juta tetamu kami atas sokongan dan kepercayaan berterusan mereka sejak hari pertama sehingga kini, di mana kami sedang melalui tempoh yang paling sukar dalam sejarah AirAsia. Apa yang paling penting, anugerah ini ditujukan khas buat AirAsia Allstars (kakitangan kami), termasuklah mereka yang terpaksa meninggalkan kami baru-baru ini. Ribuan terima kasih kepada semua Allstars di atas komitmen, ketekunan dan dedikasi anda sepanjang tahun yang amat mencabar ini.'

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan berkata, 'Pandemik ini telah memberi impak yang sangat besar kepada kita semua dan menjadikan keadaan lebih sukar. Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa kru kami dapat mengatasi cabaran ini dan tidak patah semangat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menyesuaikan diri dengan peraturan dan undang-undang yang sentiasa berubah dalam situasi semasa. Fokus kami adalah untuk menjaga kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan para tetamu dan anugerah ini adalah bukti kerja keras dan semangat kami.'

Pengasas World Travel Awards, Graham E Cooke berkata, 'Walaupun industri penerbangan pada tahun ini menghadapi cabaran yang besar, AirAsia terus menerajui sektor penerbangan tambang rendah di Asia dan seterusnya. Mereka berusaha untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan saya berbesar hati kerana mereka telah dipilih oleh pemain industri dan orang awam sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2020 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2020.'

Ditubuhkan pada tahun 1993, World Travel Awards salah satu program anugerah paling berprestij di dalam industri pelancongan global yang mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti. Selain itu, jenama World Travel Awards juga diiktiraf di peringkat global sebagai tanda kecemerlangan industri.

Walaupun industri penerbangan menghadapi cabaran yang luar biasa sepanjang tahun 2020, program World Travel Awards tahun ini menyaksikan jumlah undian bulanan yang tinggi, sementara laman web rasminya terus menerima trafik carian yang lebih tinggi daripada tahun sebelumnya. Ini membuktikan bahawa permintaan dalam industri perjalanan dan pelancongan semakin meningkat, justeru memberikan impak positif kepada pemain-pemain industri.

Untuk berita, aktiviti dan promosi terkini AirAsia, ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram (instagram.com/AirAsia).