Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

04/23/2024 | Press release | Distributed by Public on 04/22/2024 23:32

MALAYSIA MENGECAM SERANGAN ISRAEL DI BANDAR RAFAH, SELATAN GAZA

MALAYSIA MENGECAM SERANGAN ISRAEL DI BANDAR RAFAH, SELATAN GAZA

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang terkini di bandar Rafah, selatan Gaza pada 21 April 2024. Sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin yang tidak bersalah terbunuh termasuk 18 kanak-kanak.

Situasi di Rafah adalah amat membimbangkan mengambilkira risiko bencana kemanusiaan yang tinggi. Sebarang serangan di Rafah akan mengakibatkan implikasi yang dahsyat kepada lebih dari 1.5 juta rakyat Palestin yang berada di tempat perlindungan sementara yang sesak di dalam kawasan hanya seluas 64 km persegi.

Pencerobohan Israel akan menyebabkan kehilangan nyawa yang semakin meningkat. Rafah adalah benteng dan tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri dari utara Gaza sejak 198 hari lalu. Mereka kini tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung.

Kekejaman Israel semakin melampau kerana ia sama sekali tidak menghiraukan garis merah yang ditetapkan sekutunya. Pada bulan lalu, Israel telah diberi amaran oleh negara-negara sekutunya untuk mengelakkan dari menyerang Rafah kerana ia adalah satu kesilapan.

Serangan ini ternyata membuktikan kedegilan Israel. Masyarakat antarabangsa perlu terus mengecam pencerobohan Israel, mendesak pemberhentian permusuhan dengan segera, mengiktiraf dan menegakkan Kenegaraan Palestin, dan secara aktif mendapatkan keadilan yang telah dinafikan selama lebih tujuh dekad.

PUTRAJAYA

23 April 2024