Agrobank - Bank Pertanian Malaysia Berhad

10/26/2020 | Press release | Distributed by Public on 10/26/2020 05:44

Agrobank Meluluskan 9,101 Permohonan Bantuan R&R

KUALA LUMPUR - Agrobank hari ini mengumumkan bahawa ia telah meluluskan 9,101 permohonan untuk penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) dan ini merangkumi permohonan daripada pelanggan komersial, pengguna dan mikro yang memohon sokongan kewangan tambahan untuk meredakan aliran tunai mereka kesan daripada penularan wabak COVID-19.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, 'Agrobank terus komited untuk memberikan sokongan kepada pelanggan kami dalam waktu yang mencabar ini. Bagi pelanggan yang masih menghadapi kesukaran untuk membayar ansuran bulanan mereka, Agrobank akan terus menawarkan bantuan pembayaran balik dan menerima permohonan sehingga Jun 2021. Kami ingin memaklumlan kepada semua pelanggan kami bahawa sebarang bantuan kewangan yang diambil tidak akan mempengaruhi Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) status mereka.'

Agrobank menyarankan pelanggannya untuk tampil menyusun semula atau menjadualkan semula kemudahan pembiayaan mereka, sebagai penyelesaian jangka panjang selepas tamat tempoh pelaksanaan moratorium. Sehingga hari ini, Bank telah meluluskan semua permohonan lanjutan moratorium sepertimana pengumuman berkaitan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada bulan Julai

'Oleh kerana Agrobank menyediakan pembiayaan di sepanjang rantaian nilai pertanian, maka kami menyediakan bantuan kewangan kepada individu, mikro, PKS dan juga pelanggan korporat. Kami juga menyarankan agar pelanggan kami untuk berhubung dengan pegawai kami mengenai pilihan yang ada atau sekiranya mereka tidak pasti apa yang harus dilakukan selanjutnya,' kata Khadijah lebih lanjut.

Khadijah juga mengulangi bahawa selaras dengan visi Agrobank untuk Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan, Agrobank secara proaktif telah berhubung dengan pelanggannya melalui pelbagai inisiatif seperti bimbingan perniagaan dalam talian, webminars, klinik perniagaan, forum dan lain-lain. Inisiatif ini bertujuan untuk mendidik dan memberikan sokongan kepada pelanggan dengan lebih baik dalam menguruskan perniagaan mereka pada tempoh sukar seperti ini.

Pelanggan yang memerlukan maklumat lebih lanjut berkaitan bantuan pembayaran balik Agrobank, boleh menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan di 1300 88 2476 atau e-mel [email protected], atau menghubungi pegawai perhubungan atau cawangan masing-masing, atau layari www.agrobank.com.my

MENGENAI AGROBANK

Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.

Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian. Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian. Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.

Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dapat dilaksanakan menerusi kesemua 192 buah rangkaian untuk pelanggan Bank merangkumi 138 cawangan, 1 perbankan agro, 1 perbankan maya, 10 pusat pembiayaan komersial, 34 kiosk, 8 sudut & pusat agro.

Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.

www.agrobank.com.my

*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Shahreen Rahim

Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Komunikasi Strategik, Agrobank

03-2731 1660 / +6012-943 6217 | [email protected]

Rasheffa Rashid

Eksekutif, Perhubungan Awam, Jabatan Komunikasi Strategik, Agrobank

03-2731 1650 / +6019-2729907 | [email protected]

Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Strategik, Agrobank