Central Bank of Malaysia

01/24/2022 | Press release | Distributed by Public on 01/24/2022 03:51

Pelan Sektor Kewangan 2022 - 2026 Malaysia diperkenalkan pada MyFintech Week 2022

Pelan Sektor Kewangan 2022 - 2026 Malaysia diperkenalkan pada MyFintech Week 2022

Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1645 pada Isnin, 24 Januari 2022
24 Jan 2022
  • Pelan Sektor Kewangan 2022 -2026 Malaysia menetapkan hala tuju perkembangan kewangan negara selaras dengan aspirasi ekonomi negara yang utama.
  • MyFintech Week 2022 menampilkan lebih 100 penceramah dan pakar isu-isu penting dalam kewangan seperti pendigitalan dan inovasi, rangkuman kewangan dan kemampanan.
  • Acara yang berlangsung selama satu minggu ini akan mengetengahkan wawasan pembaharuan daripada pemimpin berwawasan dan kuliah pimpinan pakar (masterclass) oleh pakar-pakar industri.

Pelan Sektor Kewangan (Pelan) lima tahun Malaysia telah diperkenalkan hari ini semasa pelancaran MyFintech Week 2022 (MyFW 2022) yang dirasmikan oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz. Lebih 3000 peserta, termasuk peneraju industri, perumus dasar dan orang ramai menyertai pelancaran secara maya ini.

Pelan lima tahun ini menggariskan visi dan strategi pembangunan sektor kewangan negara. Disokong oleh tiga hasil umum iaitu kewangan untuk semua, kewangan untuk pembaharuan dan kewangan untuk kemampanan, Pelan ini mengenal pasti lima teras strategik bagi mencapai hasil-hasil tersebut:

  1. Membiayai transfomasi ekonomi Malaysia;
  2. Meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan;
  3. Memajukan pendigitalan dalam sektor kewangan;
  4. Meletakkan sistem kewangan pada kedudukan yang memudahkan peralihan secara teratur kepada ekonomi lebih lestari; dan
  5. Membangunkan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan dalam kewangan Islam

Dalam ucapan beliau, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul berkata, "Pelancaran Pelan Sektor Kewangan 2022 - 2026 memang tepat pada masanya. Dalam usaha merealisasikan aspirasi negara, sektor kewangan sentiasa memainkan peranan penting, sama ada menyokong isi rumah meningkatkan dan memelihara kekayaan mereka atau membantu perniagaan berkembang dan meneroka bidang baharu. Bagi lima tahun seterusnya, strategi yang digariskan dalam Pelan ini akan menjadi sangat penting untuk sektor kewangan terus menjadi pemangkin kepada pembaharuan, mendorong kemampanan dan menyumbang kepada aspirasi bersama kita iaitu "Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan"."

"Sektor kewangan akan terus memainkan peranan utama dalam memberikan penyelesaian kepada cabaran yang mendatang," ujar Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah dalam ucapan alu-aluan beliau. "Kami berhasrat dan yakin bahawa sektor kewangan akan terus memberikan sumbangan yang besar kepada Malaysia pada tahun-tahun akan datang serta memainkan peranan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia pada masa sekarang dan juga generasi seterusnya."

MyFW 2022 merupakan persidangan secara maya yang meliputi pelbagai isu mendesak yang dihadapi oleh industri kewangan pada masa hadapan. Bertemakan "Advancing Digitalisation for Recovery, Sustainability and Inclusion", MyFW 2022 memberikan tumpuan pada tujuh keutamaan penting sektor kewangan iaitu Realiti Baharu, Ekonomi, Rangkuman dan Kekukuhan Kewangan, Syarikat Permulaan, Pengawalseliaan, Kemampanan dan Daya Tahan. Hari Pertama MyFW 2022 turut menampilkan ucapan Achim Steiner, Administrator of United Nations Development Programme yang menyorot tentang pentingnya mengambil tindakan berani apabila menangani isu iklim.

Tema kemampanan ini diteruskan dengan sesi panel lain yang menampilkan penceramah termasuk Charlotte Wolff-Bye, Chief Sustainability Officer, Petronas yang berkongsi pandangan tentang "peralihan tenaga yang besar", dan Gillian Tett, Chair of Editorial Board, The Financial Times (US) yang mengetuai perbincangan tentang "net zero banking: how realistic? how soon?". Sesi-sesi ini memberikan penekanan tentang perlunya institusi kewangan dan syarikat besar menjadi peneraju melalui penzahiran dan akauntabiliti yang lebih besar dalam melaksanakan sasaran sifar bersih. Perbincangan berkisar topik seperti syarikat-syarikat Bigtech dalam kewangan dan masa hadapan ekonomi digital Malaysia turut diadakan pada Hari Pertama MyFW.

Persidangan ini akan berlangsung empat hari lagi dengan penganjuran pelbagai sesi menarik berhubung dengan topik seperti kewangan tanpa alat fizikal (invisible finance), kewangan tidak berpusat (decentralised finance, DeFi) dan masa hadapan insurans digital. Para peserta juga boleh menyertai lebih 10 kuliah bimbingan pakar yang akan disampaikan oleh pakar industri. Kuliah ini akan meneliti secara mendalam tentang isu-isu seperti pembayaran rentas sempadan dan penggunaan awan.

Muat turun dan baca lebih lanjut mengenai Pelan Sektor Kewangan 2022 - 2026 atau layari laman sesawang acara untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MyFintech Week 2022.

Bank Negara Malaysia
24 Januari 2022

© Bank Negara Malaysia, 2022. All rights reserved.