Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

06/27/2022 | Press release | Archived content

LAWATAN KERJA PUAN YANG TERUTAMA SENATOR PENNY WONG MENTERI LUAR NEGERI AUSTRALIA KE MALAYSIA 28 – 30 JUN 2022

LAWATAN KERJA

PUAN YANG TERUTAMA SENATOR PENNY WONG

MENTERI LUAR NEGERI AUSTRALIA KE MALAYSIA

28 - 30 JUN 2022

YB Dato' Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan menerima lawatan kerja Senator Penny Wong, Menteri Luar Negeri Australia ke Malaysia pada 28 hingga 30 Jun 2022.

Semasa lawatan tersebut, YB Dato' Sri Saifuddin dan Senator Wong dijadualkan bertemu untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Senator Wong juga dijadualkan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan beberapa Menteri Kabinet lain seperti YB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan Pertahanan bagi membincangkan isu-isu berkaitan kerjasama dua hala dalam sektor perdagangan dan pelaburan serta pertahanan. Senator Wong akan turut berkunjung ke Kota Kinabalu, di mana beliau akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Negeri Sabah termasuk YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Timbalan Ketua Menteri ll dan Menteri Pertanian dan Perikanan, dan YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Menteri Kewangan ll.

Lawatan Senator Wong ini dilihat akan mengukuhkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia sebagai Rakan Kongsi Strategik Komprehensif (Comprehensive Startegic Partnership - CSP). Lawatan ini memaparkan komitmen Malaysia untuk menjalinkan kerjasama yang rapat dengan Kerajaan Australia yang baharu. Lawatan ini juga memberi peluang bagi kedua-dua negara meneroka lebih banyak potensi kerjasama dalam pelbagai sektor demi kebaikan bersama.

Pada 2021, Malaysia dan Australia telah meningkatkan hubungan dua hala dari Rakan Kerjasama Strategik ke CSP. Australia merupakan rakan dagang ke-13 terbesar Malaysia pada tahun 2021 dengan jumlah perdagangan sebanyak RM52.28 bilion (USD12.43 bilion), peningkatan 28.7 peratus berbanding nilai yang direkodkan pada 2020.

PUTRAJAYA

27 JUN 2022