Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

04/25/2024 | Press release | Distributed by Public on 04/25/2024 17:27

LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN, MENTERI LUAR NEGERI, KE REPUBLIK RAKYAT CHINA 23 – 25 APRIL 2024

LAWATAN RASMI YB DATO' SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN,

MENTERI LUAR NEGERI, KE REPUBLIK RAKYAT CHINA

23 - 25 APRIL 2024

YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Rakyat China (RRC) dari 23 hingga 25 April 2024. Lawatan ini merupakan kali pertama YB Menteri Luar Negeri berkunjung ke negara tersebut susulan pelantikan beliau sebagai Menteri Luar Negeri pada 12 Disember 2023.

Semasa lawatan, YB Menteri Luar Negeri bertemu dengan rakan sejawatnya, TYT Wang Yi, Menteri Luar Negeri Republik Rakyat China (RRC), untuk membincangkan isu-isu dua hala, serantau, dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Pertemuan ini memberikan peluang untuk mengeratkan kerjasama dua hala, terutamanya dalam konteks sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China serta ulang tahun ke-11 penaiktarafan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership) pada tahun 2013.

Di samping itu, YB Menteri Luar Negeri juga mengadakan pertemuan dengan TYT Liu Jianchao, Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat, dan pegawai-pegawai kanan dari Parti Komunis China (Chinese Communist Party). Pertemuan ini bertujuan untuk mendalami dialog politik dan meneroka peluang kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan China.

Selain itu, beliau juga berpeluang untuk beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Beijing, menekankan pentingnya hubungan sesama rakyat dalam hubungan dua hala yang kukuh.

Lawatan ini memberikan peluang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin dengan China, dan memberi landasan positif untuk kerjasama masa depan dalam pelbagai sektor.

Kerjasama dagang antara Malaysia dan China telah berjalan dengan lancar selama lima belas tahun berturut-turut, dengan nilai dagangan pada tahun 2023 mencapai RM450.84 bilion (USD98.80 bilion), menjadikan China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia.

PUTRAJAYA

25 April 2024