Central Bank of Malaysia

09/27/2021 | Press release | Distributed by Public on 09/26/2021 22:49

DuitNow Malaysia dan PayNow Singapura akan melancarkan Jalinan Pembayaran Rentas Sempadan pada Tahun 2022

DuitNow Malaysia dan PayNow Singapura akan melancarkan Jalinan Pembayaran Rentas Sempadan pada Tahun 2022

Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1230 pada Isnin, 27 September 2021
27 Sep 2021

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) hari ini mengumumkan rancangan untuk mula menghubungkan sistem pembayaran runcit masa nyata DuitNow di Malaysia dan PayNow di Singapura secara berfasa.

Fasa pertama jalinan DuitNow-PayNow dijangka bermula pada suku keempat tahun 2022. Fasa ini akan membolehkan pelanggan perkhidmatan institusi kewangan peserta membuat pindahan dana secara masa nyata antara kedua-dua negara dengan hanya merujuk nombor telefon mudah alih penerima. Pelanggan juga boleh membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow atau NETS yang dipaparkan di hadapan premis perniagaan. Projek ini akan membolehkan proses pembayaran dibuat dengan lebih lancar antara Malaysia dengan Singapura, terutamanya bagi tujuan pengiriman wang yang merekodkan jumlah yang besar sebanyak RM4.2 bilion[1] pada tahun 2020. Jalinan ini juga akan memenuhi keperluan pelawat dari kedua-dua negara, yang mencatatkan jumlah ketibaan yang besar iaitu secara purata kira-kira 12 juta[2] setahun sebelum pandemik bermula.

Susulan pelancaran ini, BNM dan MAS akan memperluas jalinan DuitNow-PayNow secara berperingkat dengan menambah lebih banyak fungsi pembayaran dan institusi kewangan peserta. BNM dan MAS juga akan mengkaji kemungkinan untuk menggabungkan ciri-ciri inovatif seperti penyelesaian berasaskan teknologi lejar teragih (distributed ledger technology) untuk memangkin kecekapan penyelesaian dan penjelasan pembayaran antara bank peserta.

Jalinan DuitNow-PayNow merupakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah hubungan erat antara Malaysia dengan Singapura. Jalinan ini sejajar dengan usaha G20 untuk memacu pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, inklusif dan telus. Inisiatif ini juga merupakan satu langkah konkrit ke arah mencapai rangkaian jalinan sistem pembayaran masa nyata dalam kalangan negara ASEAN.

Encik Fraziali Ismail, Penolong Gabenor BNM berkata, "Jalinan DuitNow-PayNow akan menjadi pengubah penting untuk menggalakkan perkhidmatan pembayaran yang lebih pantas, murah dan mudah diakses oleh orang ramai di kedua-dua negara melalui pelaksanaan kecekapan yang ditunjukkan oleh pembayaran domestik dalam pembayaran rentas sempadan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Singapura tetapi juga berfungsi sebagai pendorong utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi selepas pandemik."

Encik Sopnendu Mohanty, Ketua Pegawai FinTech MAS, pula berkata, "Bagi Singapura, koridor pengiriman wang dengan Malaysia adalah koridor pengiriman wang terbesar kami. Oleh itu, jalinan PayNow-DuitNow akan menjadi infrastruktur penting untuk menyokong keperluan pembayaran rentas sempadan bagi individu dan perniagaan, serta kegiatan ekonomi digital yang semakin meningkat antara kedua-dua negara. Inisiatif ini akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia."

Bank Negara Malaysia
Monetary Authority of Singapore
27 September 2021

[1] Sumber: BNM

[2] Sumber: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia

Bank Negara Malaysia
27 Sep 2021

© Bank Negara Malaysia, 2021. All rights reserved.