Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

10/24/2023 | Press release | Distributed by Public on 10/23/2023 19:56

MALAYSIA SAMBUT HARI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) 2023 24 OKTOBER 2023

MALAYSIA SAMBUT HARI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) 2023

24 OKTOBER 2023

Malaysia menyertai komuniti antarabangsa dalam menyambut ulang tahun ke-78 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini. Hari PBB disambut setiap tahun untuk menandakan tarikh berkuatkuasanya Piagam PBB serta penubuhan badan tersebut pada tahun 1945.

Sejak menyertai PBB selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia secara konsisten telah mempromosikan tiga (3) tunggak asas sistem PBB iaitu keamanan dan keselamatan; hak asasi manusia; dan pembangunan.

Malaysia terus percaya bahawa pelbagai cabaran yang dihadapi dunia pada hari ini hanya dapat ditangani melalui kerjasama yang lebih erat dan dengan sistem multilateralisme yang diperkukuhkan. Oleh itu, reformasi perlu dilakukan untuk memastikan PBB kekal sesuai dengan tujuan asalnya.

Pada hari ini, Malaysia memperbaharui komitmennya kepada PBB. Malaysia akan terus menjadi rakan kongsi global yang kukuh dan yang boleh dipercayai, selaras dengan nilai-nilai sejagat yang termaktub dalam Piagam PBB selaras dengan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Malaysia MADANI yang diperlukan dalam mewujudkan dan memajukan masyarakat yang harmoni. Selamat Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu!

PUTRAJAYA

24 Oktober 2023