Universiti Sains Malaysia

05/04/2024 | Press release | Distributed by Public on 05/03/2024 22:45

DPP USM KOMITED MEMBENTUK MAHASISWA BERKUALITI

Written on 04 May 2024.

USM PULAU PINANG, 4 Mei 2024 - Sidang Dewan Perundingan Pelajar (DPP) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengadakan mesyuarat pertamanya bagi sidang akademik 2023/2024 di Dewan Persidangan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM.

Hadir bagi merasmikan sidang ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Dalam ucapan perasmiannya, Abdul Rahman berkata, selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa, DPP sememangnya berperanan sebagai satu platform perundingan yang membawa suara mahasiswa kepada pihak universiti dalam segala hal berkenaan kebajikan dan pembangunan pelajar.

"Melalui 25 usul yang akan dibentangkan dan dibahaskan, saya berharap agar para mahasiswa akan berhujah dengan penuh fakta dan berlandaskan bukti, tidak mengikut emosi serta menitikberatkan kebajikan mahasiswa USM," katanya.

Abdul Rahman turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM yang terus menyokong dan menyambut baik Pindaan Rang Undang-Undang berkaitan dengan agenda pemerkasaan mahasiswa yang dibahaskan di Dewan Rakyat.

Tambah Abdul Rahman, harapan beliau lagi adalah agar DPP akan terus menjadi inspirasi pembentukan mahasiswa berkualiti, berfikiran kritis dan idealis sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang.

"You are the future of the nation. Anda akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan yang mana anda harus bersedia untuk membantu negara demi mencapai matlamat yang terbaik.

"Semoga penglibatan anda semua dalam DPP pada sidang ini dapat memberikan impak kepada komuniti, universiti dan negara. We have to make ourselves relevant to the people out there by providing good benefits to them," pesannya lagi.

Sebelum menamatkan ucapan, beliau turut menyatakan bahawa tahun ini terdapat beberapa penambahbaikan dari segi kemudahan pelajar dan antara inisiatif lain yang akan diperkenalkan ialah perkhidmatan bas laluan percubaan baharu, khas untuk pelajar USM.

Sementara itu, Abdul Rahman turut memaklumkan bahawa melalui program-program yang telah dilaksanakan tidak kira program komuniti atau industri, USM telah menjadi sebagai tempat rujukan dan ini tidak akan berlaku jika tiada kerjasama bersama antara semua pihak.

Turut diselitkan dalam majlis ialah sesi menyarung jubah kepada Speaker Dewan, Timbalan Speaker Dewan dan Setiausaha Dewan oleh Naib Canselor USM.

Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Profesor Dr. Azizah Omar; Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Roslan Ismail; Yang Dipertua MPP USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman; Setiausaha DPP Sidang Akademik 2023/2024, Nuraini Jalaluddin dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim