Universiti Sains Malaysia

04/08/2024 | Press release | Distributed by Public on 04/08/2024 01:44

PASUKAN DEBAT TIONGHUA USM MUNCUL JUARA PERINGKAT ASIA TENGGARA, BAKAL MEWAKILI ASIA TENGGARA DI PERINGKAT AKHIR DI NEGARA CHINA OKTOBER 2024

Written on 08 April 2024.

USM PULAU PINANG, 7 April 2024 - Pasukan Debat Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah muncul sebagai Johan Keseluruhan dalam Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2024 yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS1), Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM.

Dalam pusingan akhir, pasukan USM menewaskan pasukan Universiti Multimedia (MMU Melaka) yang dinobatkan sebagai Naib Johan keseluruhan pertandingan.

Dengan menjuarai pertandingan itu, sekaligus melayakkan pasukan USM mewakili Asia Tenggara ke peringkat akhir di Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia di Beijing, Republik Rakyat China yang dijangka akan diadakan pada bulan Oktober tahun ini.

Selain menjadi juara keseluruhan pertandingan, pendebat terbaik dianugerahkan kepada Shiji Yin, pelajar Sarjana Teknologi Industri yang juga merupakan ketua kumpulan pasukan USM.

Hadir merasmikan acara penutup ialah Lim Zheng Han, pegawai khas kepada YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia; dan Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM.

Dalam ucapannya, Shaharum berkata, program ini adalah salah satu aktiviti tahunan yang amat penting bagi PBT USM untuk melatih dan mendidik siswa siswi berbangsa Tionghua menggunakan bahasa ibunda mereka dengan betul dan tertib untuk berdebat.

"Selain itu, saya berharap melalui semangat kebersamaan yang ditunjukkan antara semua pasukan yang bertanding, akan bertambah mesra dan lebih meriah lagi pertandingan ini di musim hadapan," katanya.

Sementara itu, Lim sebagai mewakili YB Menteri, mengucapkan syabas kepada USM atas kejayaan menjadi tuan rumah program peringkat antarabangsa ini sekali lagi.

"Sesungguhnya pertandingan ini sangat bermakna kerana melalui platform ini, siswa siswi dapat membincangkan isu-isu semasa tertentu dengan lebih mendalam serta berkongsi pengetahuan," katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan penajaan daripada Kementerian Sumber Manusia sebanyak RM10,000.

Turut hadir dalam majlis penutup adalah pihak penganjur bersama iaitu Dr. Campus yang diketuai oleh pengurusnya, Teng Heng Nguan; Penasihat PBT USM, Dr. Lee Pin Ling; YDP PBT, Kang Kim Hwee; dan Pengarah Projek pertandingan ini, Wong Jing Ming.

Pertandingan yang berlangsung dari 6 hingga 7 April 2024 itu telah menyaksikan penyertaan daripada 8 pasukan terbaik yang berjaya memasuki pusingan kedua dan separuh akhir daripada 13 penyertaan universiti dari Malaysia dan Singapura.

Seluruh warga USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Debat Persatuan Bahasa Tionghua USM atas kejayaan yang amat membanggakan ini.

"Selamat membuat persediaan rapi buat seluruh ahli pasukan, dan terus berusaha keras untuk mencapai sasaran menjadi juara di peringkat antarabangsa nanti, seterusnya mengharumkan nama USM dan negara di persada dunia dalam perdebatan bahasa Cina," ujar Shaharum.

Teks: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA/Foto: Siti Ruhaida Mohammad Radhi