Universiti Sains Malaysia

04/27/2024 | Press release | Distributed by Public on 04/27/2024 08:27

GIGIH BERUSAHA KUNCI KEJAYAAN SUBRAMANIAM GOVINDAN

Written on 27 April 2024.

USM PULAU PINANG, 27 April 2024 - Ibarat kata pepatah 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan', jika berhasrat kepada sesuatu, kita pasti akan berusaha apa jua cara untuk mendapatkannya.

Memulakan kerjayanya di Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Pembantu Percetakan Rendah (N9) pada tahun 1990, atas usaha gigihnya, Dr. Subramaniam Govindan, 60, telah diberikan kenaikan pangkat sebanyak enam kali sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama USM.

Subramaniam atau lebih dikenali sebagai Subra, telah berkhidmat selama 34 tahun di USM, dan dikenali sebagai seorang yang periang, berdedikasi, tegas dan amanah dalam melaksanakan tugasnya. Beliau kini bersara sebagai Timbalan Pendaftar (N52) di Jabatan Pendaftar USM.

Mempunyai personaliti yang berilmu, berinovasi, kreatif, berwibawa, tidak mengira waktu bekerja dan merupakan seorang 'good team player', Subra sentiasa komited dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan.

Mengambil mantera mendiang ibunya, "only education is an asset for you", Subra meneruskan pengajiannya ke tahap yang lebih tinggi kerana cita-cita utamanya adalah untuk menjadi seorang yang berilmu dan berjaya.

"Saya tidak dapat menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi lebih awal selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan kelulusan 4 prinsipal pada masa itu, disebabkan kekangan kewangan dan keadaan kesihatan ibu yang tidak mengizinkan ketika itu. Walaupun ketinggalan berbanding rakan-rakan lain, atas nasihat dan cadangan ayah, saya memohon untuk belajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kuala Lumpur dalam bidang percetakan," ujarnya dalam satu sesi temuramah.

"Sebelum tamat kursus kemahiran di ILP, saya diberi peluang utk menjalani latihan industri di Unit Percetakan Pusat, Jabatan Pendaftar USM selama 6 bulan. Pada masa itu, salah seorang penyelia telah menasihatkan saya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," kata Subra lagi.

Menceritakan pengalamannya, Subra berkata kehidupannya bermula selepas kematiannya ibunya, yang mana beliau mendapat tawaran bekerja di USM sebagai Pembantu Percetakan Rendah (Gred N9) dan atas berkat kesungguhan, komitmen dan sebagai seorang yang cintakan ilmu, Subra menyambung pelajarannya ke tahap yang lebih tinggi, dengan mengikut peredaran masa dan kemudian dinaikkan pangkat sesuai mengikut kelayakannya.

Subra akui, beliau telah melalui pelbagai jenis pengalaman pahit, manis dan berliku sepanjang bekerja sambil belajar di USM. Atas dorongan dan sokongan daripada isteri, ahli keluarga dan orang sekeliling yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat serta galakan, ianya adalah satu pembakar semangat dan motivasi untuk Subra meneruskan cita-citanya.

Sepanjang kerjayanya bersama USM, Subra telah menyumbang dalam pelbagai pertubuhan dan persatuan, merealisasikan keserasian hubungan antara universiti dan masyarakat dalam aspek sosio-ekonomi.

Beliau juga telah menerima pelbagai penghargaan termasuk mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan

Subra pernah diuji dengan tugas baru yang luar daripada bidang tugasnya, iaitu dengan konsep 'reengineering' dalam bidang teknikal semasa bertugas di Pusat Teknologi Pengajaran Multimedia (PTPM), dan ketika itulah bermulanya pelbagai cabaran pahit dan manis semasa menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

Kata Subra, setiap tugas yang diberikan adalah peluang untuknya menuntut ilmu baru dan beliau sentiasa berusaha mencari peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah secara jarak jauh bagi mencapai impiannya.

"Perkara yang manis bagi saya ialah ketika mengikuti pengajian Doctorate of Businees Administration (DBA). Isteri dan anak-anak saya sentiasa memberi dorongan dan membantu saya untuk menyiapkan tugasan saya. Dari situ, secara tidak langsung perkara seperti ini telah membantu mereka memahami proses untuk menyiapkan tugasan di peringkat universiti setelah mereka masuk ke alam universiti," ujarnya lagi.

Harapan Subra

Apabila ditanya apakah harapannya sewaktu tiba saat untuk meninggalkan USM, Subra berkata beliau berharap untuk terus menabur bakti kepada pihak universiti pada bila-bila masa sahaja kerana USM adalah tempat di mana beliau menimba ilmu dan diberi peluang untuk melanjutkan pengajian dan latihan ke peringkat antarabangsa dan dalam negara.

"Separuh daripada hidup saya adalah di USM, dan saya berharap saya dapat menyumbang segala ilmu, idea, kepakaran dan pengalaman kepada generasi muda terutamanya kepada pegawai-pegawai muda yang memerlukan tunjuk ajar dengan memotivasikan mereka untuk menjadi yang terbaik, kerana mereka juga adalah aset masa hadapan universiti," tambah Subra.

Pesan Subra kepada pemimpin masa hadapan (future leaders) adalah untuk tidak menolak kerja dengan memberi alasan dan sentiasa fokus dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

"Adalah penting untuk kita fokus dan tidak menolak kerja yang ditugaskan kerana dari situlah kita akan terus belajar dan percaya bahawa setiap 'learning process' adalah penting dan sangat berguna untuk membantu kita di masa hadapan," pesannya lagi.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Muhamad Ihsan Abu Bakar