Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

04/14/2024 | Press release | Distributed by Public on 04/14/2024 03:03

MALAYSIA MENYERU TINDAKAN SEGERA BAGI MENCEGAH PENINGKATAN KONFLIK SERANTAU

MALAYSIA MENYERU TINDAKAN SEGERA BAGI MENCEGAH PENINGKATAN KONFLIK SERANTAU

Malaysia menggesa semua pihak di rantau yang terlibat untuk mengelak dan berhati-hati agar tidak memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau Timur Tengah.

Serangan oleh Iran ini adalah sebagai serangan balas terhadap serangan bom awal oleh rejim Israel terhadap konsulat Iran di Damascus pada 1 April 2024. Iran menyatakan bahawa ini merupakan tindakan bela diri berdasarkan kepada Piagam 51 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Setelah serangan berakhir, Perutusan Tetap di PBB mengumumkan bahawa Iran menganggap tindakan mereka terhadap Israel dibenarkan dan "dianggap selesai". Namun, menegaskan sekiranya rejim Israel atau sekutunya "melakukan sekali lagi kesalahan, tindak balas Iran akan jauh lebih berat", ini akan terus menyebabkan serangan yang tidak berpenghujung.

Sebarang bentuk provokasi dan/atau tindakan balas akan memburukkan lagi konflik di wilayah berkaitan tidak akan memberi manfaat kepada Palestin. Matlamat utama Israel adalah jelas iaitu mengalihkan perhatian masyarakat global daripada tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan mereka di Palestin.

Malaysia seterusnya menyahut seruan Setiausaha Agung PBB untuk menghentikan dan menamatkan permusuhan ini dengan serta merta. Sebarang bentuk serangan, ofensif atau defensif, akan membawa implikasi yang jika ia tidak dikawal akhirnya akan menyebabkan kematian lebih ramai lagi nyawa yang tidak berdosa.

Kerajaan Malaysia menggesa pihak-pihak yang berkenaan untuk meredakan persengketaan dan mewujudkan persekitaran yang diperlukan untuk menamatkan konflik ini dan tidak menggalakkan negara lain untuk bertindak secara agresif. Malaysia mengulangi bahawa objektif utama adalah untuk mencari keamanan dan penyelesaian kekal kepada nasib rakyat Palestin, bukannya memanjangkan lagi konflik

YB DATO' SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN

PUTRAJAYA

14 APRIL 2024