Universiti Sains Malaysia

04/20/2024 | Press release | Distributed by Public on 04/19/2024 23:47

PERTINGKAT BAKAT BAHARU TERAJU INOVASI FINTECH, SERENTAK BANGUNKAN EKOSISTEM PASARAN MODAL ISLAM – PENGERUSI LGU USM

Written on 20 April 2024.

USM PULAU PINANG, 20 April 2024 - Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin menyeru agar universiti khususnya USM berupaya melahirkan lebih ramai bakat baharu menerajui inovasi fintech Islam demi pembangunan ekosistem Pasaran Modal Islam (CMI) di negara ini.

Perkembangan fintech dan Pasaran Modal Islam (CMI) yang menjadi tumpuan global masa kini sudah pasti meningkatkan kesedaran bahawa bakat baharu amat penting untuk mendekati cabaran tersebut, dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran tentang teknologi kewangan Islam dan Pasaran Modal Islam di rantau ini.

Bercakap di majlis perasmian Varsity Hackaton (V Hack) 2024 anjuran Pusat Pengajian Sains Komputer USM, beliau menggesa generasi belia untuk merebut peluang menguasai teknologi kewangan masa kini melalui penemuan penyelesaian yang berpotensi untuk mengubah landskap Pasaran Modal Islam keseluruhannya.

"Menyedari kuasa transformatif Hackathon ini, saya percaya bahawa V Hack telah terbukti sebagai platform yang berkesan untuk membawa peserta dengan pelbagai latar belakang dan perspektif untuk bersama-sama memanfaatkan kuasa teknologi untuk kebaikan negara dan sejagat," ucap beliau ketika merasmikan pertandingan Varsity Hackathon (V Hack) 2024 di Dewan Persidangan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), di sini hari ini.

Awang Adek yang juga Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menambah, selari dengan hasrat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia iaitu melalui pendekatan pemacu tunggal, FIKRA ACE kini terdiri daripada tiga komponen iaitu Accelerator - yang merupakan program pemacu bertumpukan penyelesaian Islam; Circle - platform rangkaian untuk menghubungkan pihak berkepentingan berkaitan pasaran modal Islam dan industri fintech; dan Excel - platform kerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk pembinaan kapasiti.

"Kerjasama di antara USM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sudah pasti mampu membina platform utuh bagi melahirkan bakat-bakat yang boleh membentuk masa depan industri negara untuk tahun-tahun mendatang.

"Dengan memupuk dan memperkasakan generasi peneraju fintech Islam di masa hadapan, saya yakin negara bukan sahaja melabur untuk kecemerlangan individu, bahkan masa depan ekosistem pasaran modal Islam di Malaysia dapat dilestarikan secara keseluruhan," jelas Awang Adek lagi.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM yang juga mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Eksekutif, Pasaran Modal Islam, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Sharifatul Hanizah Said Ali; Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato' Dr. Bahari Belaton; Penasihat Persatuan Sains Komputer USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Sufril Azlan Mohamed dan Pengarah Projek Varsity Hackathon 2024, USM, Lim Qian Yun.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa