Securities Commission Malaysia

02/26/2024 | Press release | Distributed by Public on 02/26/2024 00:30

SC dan Bursa Malaysia Ikrar Kelulusan IPO Lebih Cepat untuk Pasaran Utama dan Pasaran ACE

SC dan Bursa Malaysia Ikrar Kelulusan IPO Lebih Cepat untuk Pasaran Utama dan Pasaran ACE

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 26 Februari 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia atau Bursa) telah bersama-sama menyatakan komitmen untuk mempercepatkan tempoh kelulusan untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama dan Pasaran ACE kepada tiga bulan.

Komitmen tersebut terpakai untuk permohonan IPO baharu yang diterima mulai 1 Mac 2024.

Komitmen untuk keputusan segera mengenai kelulusan dalam tempoh tiga bulan ini adalah bersandarkan Penasihat Utama/Penaja memberi jawapan yang memuaskan dalam tempoh lima hari pasaran bagipertanyaan dan ulasan pengawal selia terhadap permohonan IPO .

Ini di samping amalan pengawal selia sejak tahun 2021 di mana pertanyaan dan ulasan dikeluarkan dalam tempoh sepuluh hari pasaran berikutan permohonan IPO yang lengkap, serta mengutarakan pertanyaan dan ulasan seterusnya dalam tempoh lima hari pasaran untuk setiap pusingan maklum balas.

Pengawal selia akan terus mengekalkan ketegasan dalam penilaian, tanpa menjejaskan perlindungan pelabur dan kepentingan awam.

Berikutan kerjasama yang lebih kukuh antara pengawal selia dan pemain industri untuk menawarkan garis masa yang lebih jelas untuk penyenaraian bagi pemohon IPO yang layak, pengawal selia berharap dapat menarik syarikat berkualiti untuk disenaraikan, terutamanya dalam sektor yang menyokong dasar pertumbuhan negara, pelan tindakan atau pelan hala tuju.

Pengerusi SC Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, "Pasaran modal ekuiti Malaysia kekal sebagai asas pembiayaan bagi syarikat-syarikat, dengan IPO menjana dana sebanyak RM3.6 bilion pada tahun 2023."

"Kami percaya tempoh masa kelulusan ini mampu memenuhi keperluan perniagaan dinamik syarikat yang ingin mengumpul dana dalam pasaran modal, dan ianyasebahagian daripada usaha berterusan kami untuk kekal relevan dan berdaya saing kepada pelabur tempatan dan antarabangsa," katanya.

"Usaha kerjasama ini menandakan komitmen kami untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi syarikat-syarikat, sekaligus memudahkan akses mereka kepada pasaran modal dengan lebih kepastian dan kecekapan," tambahnya.

Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia berkata, "Masa ke pasaran yang lebih kompetitif akan meningkatkan daya tarikan Bursa kepada syarikat yang ingin tersenarai di Malaysia. Kami berhasrat untuk menyediakan kemudahan holistik dan mesra pelanggan oleh pengawal selia dan Penasihat Utama/ Penaja, untuk memberi sokongan yang lebih baik kepada syarikat yang ingin mengumpul modal melalui IPO serta meningkatkan status sebagai syarikat tersenarai awam. Pasaran ekuiti bersedia menyokong kitaran pengumpulan dana dan pelaburan, bagi mengembangkan perniagaan."

Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) berkata ia mengiktiraf kepentingan kerjasama yang lancar antara pengawal selia dan penasihat untuk memastikan proses penyenaraian yang lancar.

"Melalui kerjasama erat, kami boleh mempertahankan piawaian usaha wajar (due diligence), tadbir urus korporat dan pematuhan di tahap tertinggi, ke arah memudahkan masa ke pasaran yang lebih pantas untuk penerbit IPO," kata Pengerusi MIBA, Lee Jim Leng.

"Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada perniagaan yang ingin mendapatkan modal tetapi juga meningkatkan kredibiliti dan ketelusan keseluruhan pasaran modal," tambahnya.

SC dan Bursa Malaysia berkata penasihat dan profesional perlu mengekalkan piawaian usaha wajar untuk memastikan permohonan IPO berkualiti tinggi yang mematuhi garis panduan dan keperluan, pendedahan berkualiti, standard tadbir urus korporat yang tinggi, serta respons yang tepat pada masanya dan memuaskan kepada pertanyaan dan ulasan pengawal selia.

Langkah-langkah selanjutnya, termasuk modul latihan akan dibangunkan untuk menyokong profesional pasaran ke arah memenuhi objektif bersama, iaitu perjalanan yang lebih lancar ke IPO.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
BURSA MALAYSIA BERHAD