Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

03/28/2023 | Press release | Distributed by Public on 03/28/2023 02:36

LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE ARAB SAUDI 22 – 24 MAC 2023

LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE ARAB SAUDI 22 - 24 MAC 2023

Kementerian Luar Negeri (KLN) ingin merujuk kepada isu yang dibangkitkan oleh beberapa pihak berhubung Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi pada 22 - 24 Mac 2023.

Isu ini dimainkan secara negatif oleh kelompok tertentu, dan tindakan sedemikian jelas tidak adil kepada KLN dan Kerajaan Malaysia dan juga kepada Kementerian Luar Negeri dan Kerajaan Arab Saudi. Ini kerana perkara-perkara yang dibangkitkan lebih bersifat spekulasi dan jauh menyimpang daripada fakta sebenar berhubung lawatan berkenaan.

Sehubungan ini, KLN ingin menjelaskan perkara-perkara berikut:

1. Persiapan Bagi Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri

1.1 KLN telah membuat persiapan-persiapan awal bagi Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi. Ini meliputi beberapa siri perbincangan antara KLN dan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, termasuk pertemuan dan perbincangan dengan Duta Besar Arab Saudi di KLN setelah mendapat cadangan tarikh lawatan.

1.2 YB Menteri Luar Negeri telah mengadakan pertemuan dengan Yang Mulia Menteri Luar Negeri Arab Saudi semasa lawatan beliau ke Riyadh pada 19 - 22 Februari 2023. Perbincangan dengan rakan sejawatannya menyentuh secara spesifik tentang lawatan YAB Perdana Menteri dan kesesuaian tarikh-tarikh serta perancangan hasil-hasil (expected deliverables) lawatan.

1.3 Sementara itu, perbincangan juga turut diadakan di antara Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi serta beberapa pihak lain yang berkenaan di negara tersebut ke arah menentukan supaya Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri diadakan dengan jayanya.

1.4 Perbincangan-perbincangan tersebut telah menyerlahkan kesediaan di pihak Kerajaan Arab Saudi untuk menerima dan menentukan supaya Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri berjaya diadakan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

2. Penetapan Masa Bagi Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri

2.1 Cadangan tarikh awal untuk lawatan diadakan sama ada sebelum atau semasa bulan Ramadan tidak menjadi isu di pihak Arab Saudi. Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas semasa perbincangan yang telah diadakan di atas. KLN turut dimaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi mengambil sikap terbuka dan pernah menerima lawatan pemimpin-pemimpin asing dalam bulan Ramadan.

2.2 Sebelum ini, pihak Kementerian Luar Negeri Arab Saudi pernah membuat cadangan balas kepada tarikh lawatan seorang pemimpin Malaysia dalam bulan Ramadan.

3. Komunikasi Rasmi Pengesahan Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri

3.1 KLN telah menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi bertarikh 21 Mac 2023 yang mengesahkan tarikh Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi. Nota Diplomatik yang serupa turut diterima pada tarikh yang sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada Kerajaan Arab Saudi.

3.2 Kedua-dua Nota Diplomatik tersebut merujuk kepada Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri pada 22 - 25 Mac 2023 termasuk program kunjungan hormat dengan Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Yang Amat Mulia Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi.

3.3 Kedua-dua Nota Diplomatik tersebut jelas menyatakan Kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan tersebut termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah dan ziarah di Madinah Al-Munawwarah.

3.4 KLN ingin menjelaskan bahawa Nota Diplomatik adalah merupakan antara komunikasi paling rasmi antara Kerajaan dengan Kerajaan.

4. Perjalanan Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri

4.1 Secara keseluruhannya, program-program Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri telah berjalan dengan lancar bermula dengan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abdulaziz, Jeddah pada pagi 22 Mac 2023.

4.2 Delegasi Malaysia telah diberikan Taraf Tetamu Negara penuh yang meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan liputan keselamatan oleh Saudi Royal Guard dan pegawai-pegawai protokol daripada Majlis Diraja Arab Saudi (Royal Court). Kemudahan-kemudahan Taraf Tetamu Negara ini turut diperuntukkan semasa pelaksanaan ibadah umrah di Makkah AlMukarramah di mana lebih 50 orang anggota keselamatan mengiringi YAB Perdana Menteri. Kemudahan-kemudahan tersebut juga turut disediakan semasa ziarah di Madinah AlMunawwarah.

4.3 Delegasi Malaysia telah menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi-sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan Arab Saudi. Walau bagaimanapun, delegasi Malaysia telah menjelaskan secara baik bahawa permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen-komitmen YAB Perdana Menteri yang telah ditetapkan awal sebelum lawatan. Ini termasuk Majlis Iftar bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 25 Mac 2023 dan Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Kemboja pada 27 Mac 2023.

5. Hasil Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri

5.1 Lawatan YAB Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih kukuh dan komprehensif.

5.2 Dalam konteks ini, YAB Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Islam termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia (MWL) dan Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB).

5.3 Semasa di IsDB, YAB Perdana Menteri turut menyampaikan ucaptama dalam satu majlis yang dihadiri seramai lebih 300 orang tetamu termasuk Presiden pertama IsDB serta tokoh-tokoh ilmuan dan pakar-pakar ekonomi dan kewangan.

5.4 YAB Perdana Menteri turut mengadakan sesi meja bulat perniagaan bersama 20 orang ahli perniagaan terkemuka Arab Saudi serta wakil-wakil komuniti perniagaan Malaysia. Semasa sesi tersebut, YAB Perdana Menteri telah menyaksikan pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman / kerjasama di antara syarikat-syarikat Malaysia dan Arab Saudi seperti berikut:

a. Joint Venture Agreement antara Dagang Nexchange Bhd. dan Ajlan & Bros Holding Group Co. Usahasama ini melibatkan kerjasama bagi pengeluaran cip untuk semikonduktor termasuk pembukaan kilang di Negeri Sembilan;

b. Memorandum Persetujuan (MoA) antara Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co. Ia melibatkan aspek latihan kepada jemaah haji di seluruh dunia; dan

c. Memorandum Persefahaman (MoU) antara Qhub International Sdn. Bhd. dan Eromman Technologies berkenaan produk kelengkapan rumah.

5.5 YAB Perdana Menteri juga turut menghadiri sesi-sesi perjumpaan dan iftar bersama rakyat Malaysia di Jeddah dan juga di Madinah.

Kesimpulan

KLN telah mengatur urus persiapan awal dan perjalanan Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi secara profesional dan berdasarkan prosedur operasi tetap (SOP) bagi lawatan-lawatan rasmi pemimpin ke luar negara sepertimana yang dilaksanakan bagi lawatan-lawatan yang telah diadakan sebelum ini dan juga lawatan terkini iaitu Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Kemboja pada 27 Mac 2023 yang telah berjalan dengan lancar dan jayanya.

Berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan, Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Arab Saudi menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama di antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi. Malaysia sentiasa menganggap Kerajaan Arab Saudi sebagai rakan strategik. Dalam konteks ini, KLN menegaskan bahawa polemik-polemik serta tanggapan-tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit tidak akan membantu dalam usaha KLN memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa.

PUTRAJAYA

28 Mac 2023