Ministry of Finance of Malaysia

09/11/2023 | Press release | Distributed by Public on 09/11/2023 18:22

Jawatankuasa Dasar Fiskal Bermesyuarat Membincangkan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana Untuk Penyediaan Belanjawan 2024

Jawatankuasa Dasar Fiskal Bermesyuarat Membincangkan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana Untuk Penyediaan Belanjawan 2024

Siaran Media 11 September 2023

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) bagi meneliti perkembangan ekonomi negara dan kedudukan fiskal Kerajaan terkini serta unjuran fiskal jangka sederhana sebagai persediaan Belanjawan 2024.

"Dengan jangkaan kelembapan ekonomi dan perdagangan global, Malaysia juga akan turut terkesan dengan pertumbuhan ekonomi negara dijangka menyederhana, namun masih sejajar dengan unjuran Kerajaan sebanyak 4% hingga 5% untuk tahun ini. Pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh permintaan dalam negeri, seperti yang dicatatkan oleh pertumbuhan separuh pertama 2023 sebanyak 4.2%. Kerajaan akan terus merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi memastikan serta mempercepat pelaksanaan semua langkah yang digariskan di bawah Belanjawan 2023 serta rangka kerja Ekonomi MADANI," kata Dato' Seri Anwar.

Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, cabaran luaran yang semakin meningkat akan menimbulkan pelbagai risiko kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pertumbuhan yang tidak sekata merentasi wilayah seperti Amerika Syarikat dan China, ketidaktentuan pasaran kewangan berikutan dasar monetari yang ketat, ketegangan geopolitik yang berlarutan serta perubahan iklim yang tidak menentu merupakan antara cabaran terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Jawatankuasa telah meneliti unjuran pertumbuhan KDNK, kedudukan fiskal Kerajaan, dan rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk penyediaan Belanjawan 2024. Jawatankuasa berpendapat bahawa terdapat ruang untuk terus menambah baik strategi, tatakelola, dan kecekapan dalam pengurusan kewangan negara. Ini termasuk merangka strategi dan inisiatif bagi memantapkan lagi pengurusan hasil negara untuk memastikan kemampanan penjanaan hasil.

Pada masa yang sama, Kerajaan akan meneruskan usaha bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta mengurangkan ketirisan dan pembaziran. Dalam hal ini, langkah konsolidasi fiskal akan terus dilaksanakan secara berperingkat bagi membina semula ruang fiskal disamping mengurangkan paras hutang dan liabiliti Kerajaan.

Dato' Seri Anwar juga telah menekankan bahawa, dalam melaksanakan reformasi fiskal, adalah penting untuk mengimbangi keperluan pengembangan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

"Walaupun kita terpaksa melakukan reformasi yang mungkin memedihkan untuk memperluas hasil negara dan menutup ketirisan daripada subsidi pukal, kita juga perlu cakna akan tantangan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi global tidak menentu," jelas beliau.

"Pendirian saya tidak pernah berganjak dalam memastikan reformasi fiskal ini tidak sama sekali membebankan rakyat yang memerlukan, malah reformasi fiskal ini masih perlu mengambil kira perbelanjaan untuk merancakkan ekonomi dan pelaburan. Maka, jujukan dan skop reformasi fiskal mesti dipertimbangkan agar ia tidak membawa kejutan yang drastik kepada ekonomi mahupun rakyat," tambah Dato' Seri Anwar.

Jawatankuasa sebulat suara bersetuju mengenai kepentingan dan kesegeraan untuk membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen pada bulan Oktober. FRA yang digubal bersesuaian dengan konteks Malaysia, dijangka akan dapat menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.

FRA mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam. Akta ini juga akan menekankan kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus wang awam.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Menteri Ekonomi, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, dan Bank Negara Malaysia. Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merangka strategi dan menetapkan hala tuju serta menambah baik tatakelola pengurusan kewangan awam bagi memperkukuh kedudukan kewangan Kerajaan jangka sederhana dan panjang.

Kementerian Kewangan
Putrajaya
11 September 2023