Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

11/30/2023 | Press release | Distributed by Public on 11/30/2023 17:30

WARGANEGARA MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LAUKKAING, MYANMAR SELAMAT TIBA DI TANAH AIR

WARGANEGARA MALAYSIA YANG TERKANDAS DI LAUKKAING, MYANMAR

SELAMAT TIBA DI TANAH AIR

Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan bahawa seramai 121 orang warganegara Malaysia yang terkandas di Laukkaing, Myanmar telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Disember 2023 jam 3.24 pagi. Kesemua warganegara Malaysia yang terkandas dan disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di utara Myanmar ini telah dibawa pulang ke tanah air melalui penerbangan khas Air Asia AK9106 dari Kunming, China. Ketibaan mereka telah disambut oleh YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri.

Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming telah berjaya menyelaras misi evakuasi ini dengan baik melalui sempadan negara Myanmar- China bermula pada pagi 30 November 2023 dengan kerjasama dan kelulusan dari negara-negara yang terlibat.

Tindakan evakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan YAB Dato' Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia II dengan kedua-dua Naib Premier China, TYT Liu Guozhong dan TYT Ding Xuexiang semasa lawatan rasmi YAB Timbalan Perdana Menteri II ke Republik Rakyat China pada 16 November yang lalu.

Kesemua warganegara Malaysia yang terkandas telah diberikan bantuan konsular dan logistik setelah memasuki sempadan negara China oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming termasuk penyelarasan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Cangyuan Washan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui.

Kerajaan Malaysia juga turut membawa pulang seorang warganegara Indonesia dari Laukkaing setelah menerima permohonan rasmi dari Kerajaan Republik Indonesia.

Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak berwajib di negara Myanmar dan Kerajaan Republik Rakyat China serta agensi-agensi Kerajaan Malaysia dan pihak persendirian yang terlibat secara langsung atau tidak atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam memastikan proses evakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

PUTRAJAYA

1 Disember 2023