Securities Commission Malaysia

03/29/2024 | Press release | Distributed by Public on 03/28/2024 21:58

SC Tingkatkan Standard Tatalaku untuk Pengantara Pasaran Modal

SC Tingkatkan Standard Tatalaku untuk Pengantara Pasaran Modal

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 29 Mac 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini telah mengeluarkan Garis Panduan mengenai Tatalaku untuk Pengantara Pasaran Modal (Garis Panduan) yang disemak, bertujuan untuk meningkatkan standard profesionalisme dan integriti pengantara pasaran modal (CMI) dalam industri.

Garis Panduan yang disemak, antara lain, mengukuhkan peranan lembaga pengarah dan pengurusan kanan CMI dalam menyemai budaya korporat di mana kepentingan pelanggan diutamakan.

Garis Panduan ini juga menjelaskan jangkaan SC mengenai kewajipan CMI untuk bertindak jujur, adil serta mengelak mengelirukan dan memperdaya pelanggannya dalam apa jua keadaan.

Bab baharu diperkenalkan untuk menangani hal penting seperti layanan terhadap pelanggan yang rentan, serta penyediaan nasihat peribadi dan perkhidmatan berkaitan pasaran modal termasuk melalui platform dalam talian.

Pengerusi SC Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata Garis Panduan yang disemak tersebut merupakan usaha SC ke arah memupuk kepercayaan, integriti dan mengutamakan pelanggan dalam industri pasaran modal dengan, antara lain, meminimumkan risiko salah jual, mengelakkan penjejasan reputasi, mengurangkan aduan dan meningkatkan pengekalan pelanggan.

"Kesaksamaan ialah prinsip asas, yang memerlukan CMI untuk mempertimbangkan keadaan pelanggan, termasuk sebarang kelemahan yang mungkin ada pada pelanggan, berkomunikasi dengan jelas dan memastikan pemahaman butiran produk dan risiko yang berkaitan," katanya.

"Apabila memberi nasihat peribadi kepada pelanggan, CMI mesti berhati-hati, berkemahiran dan tekun, serta memberi perhatian sewajarnya kepada minat pelanggan. Kami yakin penambahbaikan ini bukan sahaja akan meningkatkan standard tetapi juga mengukuhkan keyakinan pelabur dalam pasaran modal kami," katanya.

Dalam menyemak Garis Panduan, SC telah mengambil kira maklum balas daripada penglibatan bersama, antara lain, Bank Negara Malaysia, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia dan pengantara pasaran modal yang berkaitan.

Garis Panduan yang disemak akan berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024 untuk memberi masa yang mencukupi untuk pengantara pasaran modal membiasakan diri dan membuat persediaan untuk memenuhi keperluan baharu Garis Panduan yang disemak.
"Garis Panduan Tatakelakuan untuk Pengantara Pasaran Modal" yang disemak kini boleh didapati di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/conduct-for-capital-market-intermediaries.

Satu siri Soalan Lazim berhubung dengan Garis Panduan yang disemak juga boleh didapati di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/conduct-for-capital-market-intermediaries

SURUHAJAYA SEKURITI MALAYSIA